Khamis, 24 Disember 2020

Tak perlu risau, kualiti status halal daging import dijamin, lalui pemeriksaan ketat


Pontian: Dasar pengimportan daging dan produk sedia ada menjamin kualiti, keselamatan serta status halal untuk kebaikan orang ramai. Pemeriksaan di loji pemprosesan dan rumah sembelihan dijalankan mengikut prosedur ditetapkan kerajaan, sebelum dibawa masuk ke Malaysia.


Masyarakat khususnya umat Islam di negara ini tidak perlu risau berhubung daging import yang memasuki pasaran negara kerana ia melalui proses pemeriksaan yang ketat.


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (I), Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata, tidak dinafikan banyak persepsi negatif yang dilontarkan orang awam, namun berharap supaya diberi ruang kepada pihak berkaitan bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung isu penyeludupan daging import.


Dimaklumkan bahawa proses daging kita (negara) dijalankan oleh agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ia melalui proses yang cukup ketat.


"Selain itu, perlu juga membuat pemantauan dan pengauditan di semua tempat yang membekalkannya termasuk di bengkel atau kilang yang bukan sahaja perlu menepati status halal, malah perlu melihat daripada segi faktor kesihatan barulah kita boleh meluluskan permohonan terbabit.


"Apabila dimasukkan ke dalam negara, ia melalui beberapa pemeriksaan dan bukan sahaja membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) iaitu di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan," katanya pada sidang media selepas Lawatan Kerja Agropreneur Muda ke Pontian, di Kampung Lubuk Sipat Benut, dekat sini, hari ini.


Yang turut hadir, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata, pihaknya berharap masyarakat supaya bersabar pada ketika ini berikutan proses pemeriksaan, selain siasatan pun masih dijalankan membabitkan beberapa jabatan dan agensi berkaitan.


Media sebelum ini melaporkan, terdapat kartel yang mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah termasuk diragui status halal dan kualitinya. 


Berdasarkan rekod JPV, setakat ini Malaysia meluluskan 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, selain 11 rumah sembelih kerbau dari India serta Pakistan.


Selain senarai negara yang diluluskan, sumber mendakwa, kartel dipercayai membeli bekalan daging dari loji sembelihan di Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.


JPV berkata, kelulusan import daging dan produk daging hanya dibenarkan dari negara sumber, loji pemprosesan dan rumah sembelihan yang dilulus serta diiktiraf oleh kerajaan Malaysia.


EmoticonEmoticon