Alor Setar: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai mula bijak menyusun aktiviti bermanfaat di rumah, dan ada antaranya mencuba resipi viral, serta melakukan aktiviti berkebun di rumah sebagai amalan mengisi masa lapang.
Tidak terkecuali dengan penjawat awam turut melakukan aktiviti projek tanaman nanas yang diusahakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar sejak PKP Mac lalu kini sudah membuahkan hasil.
Ketua BBP Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, idea tercetus ketika waktu PKP apabila sumber makanan sukar diperolehi waktu itu.
Beliau berkata, atas perbincangan dengan anggota di balai berkenaan, mereka menggunakan dana yang ada untuk menjalankan projek tanaman nanas di kawasan lapang belakang balai berkenaan di tanah seluas 0.5 hektar.
"Alhamdulillah, dengan menggunakan kemahiran anggota balai sendiri, setakat ini sudah ada 3,000 pokok nanas di sini dan sebahagiannya sudah mengeluarkan buah.
"Nanas ini dijangka matang bulan depan dan kami bercadang untuk menjualnya dan membuka tempahan kepada orang awam melalui laman sosial di Facebook Bomba Alor Setar tetapi setakat ini hanya untuk kegunaan anggota balai sendiri," katanya ketika ditemui di BBP Alor Setar, hari ini.
Ahmad Naufal berkata, selain nanas, anggotanya turut mengusahakan tanaman lain seperti pokok tin, serai, terung, kacang kelisa, cili, ubi kayu, tebu, labu dan pisang.
Beliau berkata, selain tanaman, mereka juga menternak ayam gajah, arnab, ikan puyu dan 400 ikan talapia.
"Di sini juga kami menanam pelbagai jenis pokok tanaman herba di Taman Astakona serta sentuari ular untuk pameran kepada pengunjung yang datang ke balai kami.
"Setakat ini, perbelanjaan membeli dedak ikan dan ayam serta baja menggunakan dana sendiri anggota dan apabila jualan hasil tanaman dijual nanti, kita akan buat pusingan modal untuk menambah tanaman lain untuk diusahakan sebagai pendapatan dana kegunaan di balai," katanya.
Ahmad Naufal berkata, BBP Alor Setar mempunyai 90 anggota dan mereka hanya menjalankan aktiviti tanaman ini ketika mengisi masa lapang apabila tiada operasi.
EmoticonEmoticon