Alor Setar: Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) cawangan Alor Setar di sini diserbu orang ramai bagi mendapatkan maklumat mengenai permohonan pengeluaran i-Sinar sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka diminta pulang.
Tinjauan mendapati pencarum masih keliru untuk mengisi pendaftaran secara dalam talian, manakala ada pencarum berusia tidak tahu menggunakan aplikasi terbabit.
Dimaklumkan bahawa mereka yang mendapat nombor giliran sahaja dibenarkan masuk berurusan dalam pejabat.
Seorang pengunjung, Aminah Ismail, 40, berkata, dia hadir ke pejabat KWSP hari ini bagi mengaktifkan i-Akaun sebelum membuat permohonan secara dalam talian.
"Ingatkan datang waktu sekarang orang tak ramai. Rupanya nombor giliran pun dah habis. Pengawal keselamatan suruh datang semula esok pagi," katanya yang merupakan seorang suri rumah sejak tahun 2006.
Seorang lagi pengunjung, Nor Azlin Hambali, 34, berkata, dia hadir bersama suaminya untuk mendapatkan penjelasan mengenai statusnya sama ada layak atau sebaliknya bagi memohon i-Sinar untuk kategori satu.
"Saya merupakan seorang suri rumah sejak beberapa tahun lalu, tetapi ada beberapa kemusykilan yang timbul. Jadi saya ambil keputusan untuk datang bertanya sendiri di kaunter.
"Kalau layak, saya boleh terus mohon secara dalam talian. Tapi tengok hari ini ramai sangat orang dan ada yang diarahkan pulang sebab tidak dibenarkan masuk," katanya yang berasal daripada Simpang 4 Kangkong di sini.
Sementara itu, Mariasusi Francis, 39, berkata dia sudah cuba mengisi borang melalui aplikasi i-Sinar, namun gagal.
"Saya tak tahu kenapa tak boleh isi, sebab itu saya datang sendiri untuk bertanya di kaunter, saya akan cuba ikut panduan yang diberikan terlebih dahulu.
"Walaupun wang simpanan Akaun 1 rendah, tetapi saya sangat berharap dapat mengeluarkan wang itu untuk membeli kelengkapan sekolah untuk dua anak," katanya yang berpendapatan RM300 sebulan sebagai tukang jahit.
Seorang pengawal keselamatan yang enggan dikenali berkata, mereka yang tidak mendapat nombor giliran diminta hadir semula pada jam 8.30 esok. Pencarum yang hadir juga diberikan kertas panduan mengenai cara memohon i-Sinar secara dalam talian untuk memudahkan mereka.
EmoticonEmoticon