Kota Kinabalu: Penemuan mayat sepasang suami isteri yang meninggal dunia di rumah mereka sejak tiga hari lalu menjawap misteri bau busuk di Taman BPL, Luyang, di sini, malam tadi.
Mayat pasangan berusia 46 dan 37 tahun itu ditemui jam 9.10 malam selepas jiran mereka membuat laporan polis berikutan bau busuk dari dalam rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan laporan yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota polis dikerah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Katanya, sebaik tiba, rumah itu didapati berkunci sehingga memaksa polis menggunakan tangga untuk melihat persekitaran dalam rumah menerusi tingkap.
"Hasil pemerhatian, mendapati terdapat dua orang terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia.
"Pegawai penyiasat kemudiannya terpaksa mendapatkan bantuan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk memecahkan pintu rumah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, pasukan paramedik jabatan kesihatan yang turut tiba di lokasi kejadian mengesahkan pasangan itu sudah meninggal dunia dipercayai membunuh diri.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah boleh dikaitkan sebagai punca kematian pasangan itu.
"Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui sejenis cecair racun berhampiran pasangan terbabit yang dipercayai diminum oleh mereka.
"Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) namun siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Difahamkan, pasangan terbabit mempunyai seorang anak lelaki berusia 16 tahun dan sebelum kejadian dia di bawa ke rumah nenek di Luyang.
EmoticonEmoticon