Kota Marudu: Kecewa ikatan pertunangan mahu diputuskan, seorang lelaki mengamuk dan bertindak menyerang keluarga tunangnya sehingga menyebabkan ibu bakal mertua maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian di Kampung Kuyuh, Pitas, malam tadi (19hb Disember 2020).
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Habibah Abungon, 68, ibu kepada tunang suspek maut di lokasi kejadian manakala seorang lelaki berusia 65 tahun dan tiga lagi wanita berusia 28 hingga 30 tahun cedera di beberapa bahagian anggota badan selepas diserang suspek bersenjatakan parang.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 19 tahun memaklumkan keluarga bapa saudaranya diserang dan dicederakan oleh tunang sepupunya.
"Siasatan awal mendapati, suspek datang ke rumah tunangnya untuk mengajaknya balik ke kampung di Paitan.
"Bagaimanapun katanya, wanita terbabit tidak menurut permintaannya dan memaklumkan mahu memutuskan pertunangan.
"Akibat itu, suspek yang berusia 29 tahun bertindak agresif dan mengamuk dengan menggunakan parang.
"Antara yang cedera adalah tunang suspek sendiri yang cedera di kepala dan tangan serta adik dan bapanya. Semua mangsa yang cedera berusia 24 hingga 65 tahun," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Izaan berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati, mayat mangsa yang maut terlentang di bahagian dapur dengan kesan darah di atas lantai, manakala kesemua mangsa yang cedera pula sudah dihantar ke Hospital Pitas untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
EmoticonEmoticon