Selasa, 1 Disember 2020

JSJN siasat punca dadah bolos masuk lokap polis


Johor Bahru: Sejumlah dadah jenis syabu dan heroin dirampas daripada tahanan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dekat sini, Ahad lalu.


Ujian saringan air kencing yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) terhadap 129 tahanan reman di lokap terbabit turut mendapati 22 daripadanya adalah positif dadah.


Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan mencari punca bagaimana dadah boleh dibawa masuk ke dalam lokap dan akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan itu.


Sumber berkata, empat anggota polis bertugas menjaga lokap itu turut menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati seorang daripadanya positif dadah methamphetamin. Dipercayai anggota polis yang positif dadah itu turut membawa masuk bekalan dadah ke dalam lokap IPD Kota Tinggi.


Malah, siasatan yang dilakukan mendedahkan terdapat dua lagi anggota polis terbabit dalam membantu tahanan reman membawa masuk dadah dan tembakau ke dalam lokap polis. Usaha sedang dilakukan bagi mengesan dua anggota polis berkenaan dan siasatan lanjut sedang dilakukan.


Sementara itu, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, tiada anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terlepas daripada tindakan jika didapati terbabit dalam penyeludupan dadah di lokap.


Menurutnya, sebelum ini Bukit Aman sudah mengambil tindakan tegas ke atas anggota dan pegawai yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah seperti yang berlaku di Langkawi, Kedah.


"Kita akan menjalankan ujian saringan air kencing ke atas tahanan lokap melebihi seminggu untuk mengesan jika ada dadah bolos di bawa masuk ke dalam lokap.


"Kita akan cari punca bagaimana dadah boleh masuk dalam lokap. Tidak kira mana-mana balai pun. Insiden serupa pernah berlaku di Pulau Pinang melibatkan seorang anggota polis membawa masuk dadah ke dalam lokap namun sudah pun diambil tindakan," katanya.


Jelasnya, terdapat beberapa lagi kes serupa melibatkan anggota polis selain daripada ahli sindiket yang ditahan dalam lokap.


Kamarulzaman ditemui selepas program perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.


Kamarulzaman berkata, siasatan terperinci akan dilakukan berhubung perkara itu termasuk mengenal pasti dalang utama. Beliau percaya, penyeludupan dadah ke dalam lokap membabitkan pihak yang mengambil kesempatan terhadap penagih dadah yang ditahan.


EmoticonEmoticon