Baling: Seorang wanita pekerja kilang cedera parah di perut akibat ditikam suaminya selepas berlaku pertengkaran, di rumah mereka di Kampung Iboi, Kupang dekat sini, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, wanita berusia 36 tahun bekerja sebagai operator kilang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani disebabkan kecederaan yang dialaminya itu.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun bertengkar dengan suaminya berusia 33 tahun yang berada di luar rumah, sebelum wanita itu ditikam dengan sebilah pisau sebanyak dua kali di perut.
Katanya, pertengkaran itu disedari ibu mangsa apabila terdengar perang mulut di luar rumah sebelum pintu dapur ditendang sehingga pecah dan berlaku pergelutan di dalam kediamannya.
"Menurut laporan ibu mangsa, dia berada di bilik rumahnya sebelum terdengar pertengkaran antara anak dengan menantunya sehingga terdengar bunyi pintu dapur terkopak akibat ditendang.
"Suspek terus masuk ke dalam bilik isterinya dengan memegang pisau pendek dan berlaku pergelutan sebelum suspek dilihat keluar dari bilik tersebut.
"Ibu mangsa cuba menghubungi polis tetapi menantunya itu bertindak merampas telefon dan menghempas ke lantai sambil mengugut mencederakannya," katanya.
Beliau katanya, lelaki berkenaan turut mengacukan pisau kepada ibu mangsa dan menyebabkan wanita tersebut tidak berani melawan kerana bimbang keselamatan diri, suspek kemudian melarikan diri.
Menurutnya, polis masih memburu lelaki berusia 33 tahun yang melarikan diri. Wanita terbabit terus menghubungi jiran untuk mendapatkan bantuan.
Katanya, usaha mengesan lelaki berkenaan sedang dijalankan dan pihaknya percaya suspek masih berada di kawasan itu kerana tidak boleh keluar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Katanya, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek berang dengan tindakan mangsa bekerja di sebuah kilang di Kulim dekat sini tanpa memberitahunya terlebih dahulu sebagai seorang suami. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
EmoticonEmoticon