Seorang tukang keranda dari Sumatera Utara, Indonesia, tidak mengetahui nilai sebenar batu angkasa yang jatuh di atas bumbung rumahnya Ogos lalu. Dia menzahirkan rasa kecewa selepas menjual batu dipercayai bongkah meteorit bernilai jutaan dolar pada harga Rp200 juta (kira-kira RM57,660).
Sebelum ini, Josua Hutagalung, 34, tular menjadi 'jutawan segera' selepas menjual batu meteorit berkenaan. Kenyataan itu dipetik susulan banyak media antarabangsa melaporkan, bahawa batu angkasa itu dijual kira-kira AS$1.85 juta di AS. Namun, harga yang diterima Josua bukan seperti yang disangka ramai pihak.
"Saya berasa tertipu selepas menjual batu itu kepada pakar meteor Jared Collins dari Amerika Syarikat pada harga yang jauh lebih murah berbanding nilai sebenar mencecah AS$1.85 juta (RM7.56 juta) yang kini tular di media.
"Sekiranya itu benar, saya telah ditipu dan saya kecewa," ujarnya selepas mengetahui harga sebenar batu itu.
"Rp200 juta hasil daripada menjual batu itu, saya guna untuk menolong keluarga, anak yatim, membina gereja dan membaiki kubur ibu bapa saya," katanya yang dipetik menerusi laporan The Jakarta Post.
Dalam kejadian pada 1 Ogos lalu, sebuah bongkah batu jatuh menembusi bumbung beranda rumah ketika leka Josua sedang menyiapkan keranda ditempah pelanggan. Batu meteorit itu dianggarkan berusia 4.5 bilion tahun dan diklasifikasikan sebagai CM1/2 karbonat Chondrite, jenis yang sangat jarang berlaku.
Dalam pada itu, katanya, beliau hanya menjual 1.8 kilogram daripada keseluruhan 2.2 kg batu berkenaan, lebihan batu itu diberikan kepada ahli keluarga sebagai kenangan.
"Saya tidak akan menjual lebihan batu ini meskipun ditawarkan pada harga yang mahal," tegasnya.
Untuk rekod, tiga serpihan meteorit yang lain dilaporkan dijumpai di kawasan berdekatan ketika batu angkasa itu jatuh pada bulan Ogos lalu, namun satu ditemui di sawah kurang dari 3 kilometer dari rumah Joshua.
Berita Berkaitan
EmoticonEmoticon