Isnin, 23 November 2020

Sindiket penipuan pelaburan Forex didalangi 'Joe Kedah' tumpas


Kuala Lumpur: Kes penipuan skim pelaburan semakin membimbangkan. Biarpun berita kes penipuan pelaburan kerap dipaparkan akhbar, masyarakat masih terpedaya. Khamis lalu, pihak polis dalam satu serbuan berjaya tumpaskan sindiket penipuan pelaburan Forex yang didalangi 'Joe Kedah' hingga membabitkan kerugian hampir RM21 juta.


Serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, JSJK Selangor dan JSJK Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, Cyberjaya, Shah Alam dan Kajang, Selangor itu berjaya memberkas 10 individu. Difahamkan 'Joe Kedah', 42, turut ditahan bersama kekasihnya warga Indonesia di sebuah kondominium di Shah Alam.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, tangkapan dibuat susulan 72 laporan polis berkaitan penipuan pelaburan Forex itu diterima apabila kesemua mangsa mendapati platform pelaburan itu tidak boleh diakses.


"Sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu menjanjikan keuntungan lima hingga lapan peratus setiap bulan melalui satu platform menggunakan satu aplikasi.


"Siasatan mendapati sindiket terbabit telah mengaut keuntungan hampir RM21 juta," katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.



Zainuddin berkata, serbuan ini telah bertindak merampas 17 buah telefon bimbit, komputer riba (4), kad ATM, pelbagai dokumen syarikat serta wang tunai RM10,000.


Katanya, turut dirampas 10 buah kereta mewah jenis Porsche Macan, Audi, Ford Mustang, Range Rover Evoque, empat buah BMW dan dua Toyota Vellfire. Kesemua suspek berusia 24 hingga 42 tahun itu direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Tambah Zainuddin, dalam usaha membanteras kegiatan pelaburan haram, orang ramai jangan sewenang-wenangnya mengeluarkan duit simpanan, melabur dalam skim pelaburan apabila dijanjikan dengan pelbagai pulangan pada masa singkat, malah ada buat pinjaman bank ratusan ribu ringgit demi mengejar keuntungan palsu.


Semak dan dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti alert list Bank Negara Malaysia, Security Commission dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum melakukan pelaburan.


Kenal pasti pelaburan palsu, skim-skim pelaburan (scam) tersebut menjanjikan keuntungan yang besar, pulangan yang luar biasa tinggi, seperti 10 peratus sebulan atau 50 peratus setahun. Kalau difikirkan secara logik, memang tak masuk akal.


Ramai di kalangan kita yang tewas dengan tawaran untung besar ini. Skim penipuan pelaburan (scam) kebanyakannya memberi jaminan bahawa pelaburan mereka tiada risiko langsung. Malah, ianya berkait rapat dengan untung besar.


EmoticonEmoticon