Kuala Lumpur: Setakat ini, seramai 10 individu termasuk suspek utama sudah ditahan, disyaki terbabit dalam dua kes samun termasuk rumah bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Wan Hassan Wan Embong.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar mengesahkan penahanan mereka, berkata, kesemua suspek itu ditahan menerusi beberapa siri serbuan oleh sepasukan polis.
"Ya, ada tangkapan, setakat semalam, 10 orang termasuk suspek utama kes ini," katanya ringkas ketika ditanya pemberita tengah hari tadi.
Media tempatan, malam tadi, melaporkan, suspek yang menyamun dan menetak Dr Wan Hassan sudah ditahan polis selepas beberapa jam melakukan jenayah terbabit.
Mereka ditahan selepas usaha memburu suspek dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Terdahulu, dalam kejadian jam 3.30 pagi, semalam, rumah dihuni Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, dan isteri, Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang. Wan Hassan maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di Bukit Bandaraya, di sini.
Suspek yang tidak memakai topeng meminta duit menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.
EmoticonEmoticon