NAGORNO-KARABAKH - Kehidupan kembali normal di Stepanakert, ibu kota Nagorno-Karabakh, setelah gencatan senjata mengakhiri konflik berminggu-minggu antara Armenia dan Azerbaijan berhubung wilayah yang dipertikaikan.
Menteri Pertahanan Rusia Sergey Shoigu berkata, kira-kira 7,000 pelarian kembali ke Nagorno-Karabakh, penjual daging dan penjual sayur dilihat sudah kembali memulakan perniagaan mereka, dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Armenia, di Yerevan, ibu negara Armenia, sabtu lalu.
Pasukan pengaman Rusia dikerahkan ke Nagorno-Karabakh setelah perjanjian gencatan senjata ditandatangani antara Armenia dan Azerbaijan bagi mengakhiri pertempuran selama enam minggu ke atas wilayah pemisah.
Antara kandungan utama dalam perjanjian damai yang dimeterai ialah Armenia memulangkan Kalbajar, selain daerah Aghdam menjelang 20 November ini dan Lachin menjelang 1 Disember. Daerah terbabit dikuasai Armenia sejak peperangan pada 1990-an.
Pada Selasa, pengaman Rusia membuka sebatang lebuh raya melalui koridor Lachin yang menghubungkan Nagorno-Karabakh dengan Armenia.
Terdahulu, perjanjian oleh Moscow itu dibuat selepas beberapa kejayaan Azerbaijan dalam pertempuran untuk merampas kawasan yang didiami etnik Armenia.
Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan, Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev dan Presiden Russia, Vladimir Putin mengumumkan perjanjian damai itu minggu lepas (10 November 2020).
Pashinyan menyifatkan perjanjian itu sebagai 'amat menyakitkan untuknya dan rakyatnya', manakala Aliyev mengumpamakannya sebagai 'penyerahan' oleh Armenia. Kandungan perjanjian itu dilihat lebih berpihak kepada Azerbaijan.
Pasukan pengaman Russia terdiri daripada 1,960 anggota tentera dan pegawai serta 90 kenderaan berperisai telah dikerahkan ke wilayah itu sebagai pasukan pengaman untuk tempoh lima tahun, yang boleh dilanjutkan.
Aliyev berkata, Turki akan turut terbabit dalam usaha damai itu, sekutu Azerbaijan, yang merupakan anggota NATO.
Berkaitan: Armenia serah wilayah pertikaian, penduduk bakar rumah sebelum ditinggalkan
EmoticonEmoticon