Ahad, 22 November 2020

Rupanya atlet MMA, wanita pukul pencuri hingga berlumuran darah


Buenos Aires - Ramai yang menganggap wanita adalah insan yang lemah berbanding lelaki, sebab itulah ramai dikalangan mereka jadi mangsa jenayah. Namun, lain pula cerita yang berlaku di Argentina baru-baru ini apabila seorang wanita merupakan mangsa ragut membelasah pencuri tersebut.


Hasrat seorang lelaki untuk mencuri telefon bimbit tidak kesampaian selepas dipukul oleh mangsa yang rupa-rupannya atlet sukan seni bela diri campuran (MMA). Mirror UK melaporkan kejadian berlaku selepas lelaki berkenaan mencuri telefon bimbit mangsa dikenali Brisa di sebuah resort di sini, pada minggu lalu.


Brisa dan rakannya mengejar lelaki berkenaan yang cuba melarikan diri, tetapi tidak berjaya selepas ditangkap oleh orang awam. Selepas merampas semula telefon bimbitnya, Brisa terus memukul kepala lelaki berkenaan menggunakan ilmu seni bela diri yang dimilikinya biarpun dia hanya memiliki ketinggian 145 sentimeter (cm).


Aksi itu sempat dirakam oleh orang awam sebelum tular di laman sosial. Rakaman video yang tular menunjukkan Brisa menarik rambut pencuri berkenaan hingga kepala lelaki itu berlumuran darah selain menghamburkan makian sebelum beredar.


"Carilah pekerjaan. Kamu fikir saya menghabiskan masa bekerja untuk membiarkan kamu mengambil telefon bimbit dalam masa tiga saat?" jerit Brisa kepada pencuri telefon bimbitnya.


Polis datang meleraikan keadaan dan menahan suspek untuk siasatan. Menerusi temu bual bersama satu stesen televisyen tempatan, Brisa meluahkan rasa geram dan marah terhadap perbuatan suspek.


"Saya menabung selama berbulan-bulan untuk membeli telefon bimbit itu malah masih bekerja dalam tempoh pandemik biarpun gaji dipotong.


"Disebabkan itu, saya tidak menerima tindakan lelaki berkenaan yang dengan mudahnya mengambil telefon bimbit hasil titik peluh saya. Semoga lelaki itu tidak mengulangi perbuatannya," katanya.


Tambah Brisa, dia tidak menyesali tindakannya memukul pencuri berkenaan. Tegasnya, seorang pencuri harus diajar, memukulnya di depan khalayak ramai atas perbuatnya adalah wajar.


"Saya bernasib baik kerana tahu cara membela diri selepas mengikuti latihan MMA tetapi tidak mahu orang lain menjadi mangsa. Apa pun, saya bangga dengan tindakan saya dan tidak menyesalinya," katanya.


EmoticonEmoticon