Johor Bahru: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk antara tiga yang ditahan dipercayai terbabit penipuan pelaburan tidak wujud. Polis turut merampas wang tunai RM2.17 juta, wang kertas asing RM1.4 juta dan barangan lain dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 4.6 juta dalam serbuan di Taman Sri Kluang, Kluang, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan bersama dua lagi ahli perniagaan, kira-kira 9 malam. Siasatan awal mendapati sindiket itu disyaki memperdayakan orang ramai untuk melabur dalam urus niaga tukaran mata wang asing dan mata wang kripto dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa yang singkat.
"Sindiket ini dipercayai aktif sejak dua hingga tiga tahun lalu, selain sasaran pelabur adalah di seluruh Malaysia terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing seperti China, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain.
"Sepasukan polis dari Task Force Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membuat serbuan dan pemeriksaan di sebuah rumah teres dua tingkat itu, kemudiannya menemui wang tunai dan pelbagai barangan antaranya 10 jam tangan mewah bernilai RM250,000, 16 kad kredit dan debit pelbagai bank, 22 kepingan emas bernilai RM45,000 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.
"Turut dirampas, dua kenderaan jenama Mercedes Benz dan Range Rover, wang tunai berjumlah RM2.17 juta serta wang kertas negara asing dianggarkan berjumlah RM1.4 juta," katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini.
Beliau berkata, tiga serbuan dilakukan termasuk di Kuala Lumpur dan Johor Bahru namun kesemua tangkapan dan rampasan dibuat di rumah teres di Kluang.
Kesemua suspek berusia 27 hingga 40 tahun direman tiga hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak melebihi sepuluh tahun, dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.
Menurutnya, Polis bertindak hasil maklumat orang awam. Suspek utama ini pernah ada satu laporan polis dibuat terhadapnya, namun pengadu tarik balik. Mungkin ada banyak mangsa lagi yang tertipu dengan sindiket ini, mana-mana individu yang terkesan diminta tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Polis Johor menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam masa yang singkat.
EmoticonEmoticon