Ahad, 1 November 2020

Penuntut Malaysia mati di Taiwan


Penuntut Malaysia yang ditemui mati di kawasan berhampiran Daerah Alian, Kaohsiung, Taiwan, Khamis lalu disahkan penuntut tahun tiga Universiti Christian Chang Jung di Tainan.


Kementerian Luar Negeri berkata, pihak berkuasa Taiwan sudah mengesahkan identitinya yang dilaporkan hilang pada 28 Oktober lalu. Menurutnya, Kementerian Luar Negeri menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.


"Pihak Kementerian, melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei, sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memberi bantuan konsular sewajarnya kepada keluarga mangsa, yang dijadualkan tiba di Taipei hari ini.


"Semua penuntut Malaysia yang sedang menuntut di Taiwan dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, berwaspada dan menjaga keselamatan diri masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, penuntut warganegara Malaysia di Taiwan juga dinasihatkan untuk mendaftarkan diri dengan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei.


Media sebelum ini melaporkan memetik laporan Badan Berita Pusat (CNA) Taiwan, mengenai penahanan seorang lelaki di Kaohsiung, pada malam Khamis kerana disyaki menyebabkan kematian penuntut, Irene Chung, 24, yang berasal dari Sibu itu.


Lelaki berkenaan dilaporkan mengaku mencekik mangsa hingga mati dengan tali panjang dan membuang mayatnya di pergunungan Kaohsiung.


Suspek dipercayai menculik gadis berkenaan selepas jam 8 malam (28/10/2020) Rabu lalu, iaitu kali terakhir dia dilihat masih hidup. Pihak pengurusan Evergreen University Taiwan melaporkan kehilangan penuntut itu kepada pihak imigresen Khamis lalu.


EmoticonEmoticon