Kuala Selangor: Bunyi ketukan pintu misteri yang berlaku di Sabak Bernam sejak seminggu lalu, masih tidak menunjukkan tanda bakal berhenti apabila gangguan itu masih berterusan hingga menakutkan penduduk. Difahamkan, ia mula 'merebak' ke Tanjong Karang dan Kuala Selangor hingga menimbulkan ketakutan.
Seorang pekerja Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang menetap di Kampung Parit 3 Sungai Burong di sini diganggu dengan bunyi ketukan di hadapan pintu utama rumahnya kira-kira jam 1 pagi kelmarin.
"Belum sempat melelapkan mata, saya dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu rumah.
"Saya kemudian terus mengintai dari celah bawah pintu dan langsir tingkap, namun tidak nampak bayang sesiapa di depan rumah.
"Dalam hati ada juga terlintas adakah yang ketuk rumah saya pocong seperti yang kecoh di Sabak Bernam? Semasa kejadian, isteri dan tiga anak saya sudah lena tidur dan perkara itu hanya diceritakan keesokannya." katanya kepada di sini, hari ini.
Sementara itu, tular di saluran YouTube mendakwa kejadian penduduk ternampak lembaga berpakaian putih berdiri di jalan di Kampung Kuantan awal pagi tadi. Video berdurasi 0.45 saat itu dimuat naik seorang pengguna Youtuber pagi tadi.
Menerusi deskripsi yang dimuat naik di platform itu menyatakan jiran yang ternampak makhluk menakutkan di atas jalan kemudian menghubungi jiran sebelah rumah.
"Jiran sebelah kemudian keluar dari rumah dan nampak kelibat sama sebelum masuk ke dalam rumah.
"Sejurus (jiran sebelah) masuk (semula) ke dalam rumah, pintu (rumah) kena ketuk pula," katanya.
Hingga kini, misteri bunyi ketukan pintu yang kuat hingga mengejutkan penghuni rumah sekitar Sabak Bernam sejak beberapa hari lalu, kini merebak ke Kuala Selangor masih menjadi teka-teki. Adakah ia berkaitan dengan unsur mistik ataupun perbuatan orang tidak bertanggungjawab menakut-nakutkan penduduk.
Berita Berkiatan
EmoticonEmoticon