Rabu, 25 November 2020

Pekerja pemasangan khemah mati ditetak ketika membeli makanan


Kuala Lumpur: Kes membabitkan penggunaan senjata tajam untuk menetak mangsa semakin menjadi-jadi di negara ini, pagi tadi seorang pekerja pemasangan khemah mati ditetak di kepala di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Intan Baiduri di sini.


Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, lelaki warga tempatan berusia 21 tahun itu dikatakan datang ke PPR berkenaan bersama rakannya untuk memasang khemah kira-kira jam 8 pagi.


Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai ke Blok E PPR berkenaan untuk membeli makanan. Difahamkan, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dipercayai rebah di koridor luar Blok B sebelum ditemui orang awam.


Katanya, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan kejadian itu dipercayai membabitkan dua suspek menaiki motosikal. Salah seorang daripada suspek dikatakan turun dari motosikal dan terus menetak mangsa di tepi jalan Blok E PPR berkenaan.


Eng Lai berkata, susulan itu, pihaknya menahan seorang penganggur berusia 25 tahun yang juga penghuni PPR berkenaan bagi membantu siasatan.


"Setakat ini, kami belum menemui senjata yang digunakan dalam kejadian ini," katanya yang memaklumkan mayat mangsa dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan saksi yang melihat kejadian itu untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


EmoticonEmoticon