Rabu, 25 November 2020

Misteri penemuan lebih 100 keranda purba era Firaun terawal di Mesir


Saqqara, Mesir: Di sebalik usaha Mesir menghidupkan kembali sektor pelancongan di negara itu yang terkesan akibat COVID-19, ahli arkeologi Mesir pada 13 November 2020 mendedahkan penemuan lebih 100 keranda purba yang dianggarkan berusia lebih 2,500 tahun.


Penemuan dramatik itu digali di selatan Kaherah di tanah perkuburan Saqqara, merupakan tempat pengkebumian ibu kota Mesir purba Memphis iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO. Penemuan terbesar itu berlaku kira-kira sebulan selepas ahli arkeologi di kawasan itu menjumpai 59 keranda kayu lain yang terpelihara dan bertutup. 


Memetik agensi berita antarabangsa, salah satu keranda yang dihiasi dengan hiasan dibuka oleh pasukan arkeologi sebelum menunjukkan mumia yang dibalut dengan kain, tertera tulisan hieroglif dalam warna terang. 


Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziri, berkata, pihaknya sangat gembira dengan penemuan itu. Lebih dua minggu lalu, kira-kira 13 keranda purba turut ditemukan dalam kedalaman sekitar 12 meter (40 kaki).


Sementara itu, Menteri Pelancongan dan Barang Antik, Dr Khaled Al-Anani memaklumkan pihaknya menjangkakan lebih banyak keranda kayu yang tertanam masih belum ditemukan di lokasi berkenaan.


Jelas Khaled lagi, Saqqara masih belum mendedahkan semua isinya kerana ini adalah harta karun. Keranda-keranda purba yang dianggarkan berusia 2,500 tahun itu berasal dari Zaman Akhir Mesir purba sekitar abad keenam atau ketujuh Sebelum Masihi (SM).



Menurut Khaled, kajian awal menunjukkan bahawa sarkofagi (keranda batu) dipercayai milik para imam, negarawan kanan, serta tokoh terkemuka dalam masyarakat Mesir purba dari dinasti ke-26. Berpuluh-puluh patung turut ditemui di kawasan berkenaan termasuk sebuah patung gangsa mirip Nefertem - seorang dewa purba bunga teratai.


Katanya, penemuan itu akan diedarkan ke beberapa muzium di Mesir termasuk Muzium Besar Mesir yang belum dibuka di dataran tinggi Giza. Beliau mengaitkan banyak penemuan di Saqqara dalam kerja penggalian yang dilakukan dalam beberapa tahun ini, malah akan mengumumkan beberapa penemuan baharu.


Ahli arkeologi juga berharap dapat menemui bengkel purba untuk pembuatan keranda kayu untuk mumia tidak lama lagi.


EmoticonEmoticon