Selasa, 24 November 2020

Misteri pemuda sesat jumpa Dinosaur di hutan Gombak

 

Kisah ini berlaku beberapa tahun lepas apabila 3 orang pemuda warga asing, pekerja buruh binaan berjalan kaki ke tempat kerja melalui sebuah hutan di Gombak. Selepas beberapa minit berjalan kaki, salah seorang pemuda tadi sesat di dalam hutan tersebut.


Pemuda yang baru sebulan datang di Malaysia itu pada asalnya masuk ke belukar, kerana tidak tahan hendak membuang air kecil. Sebaik saja dia keluar dari belukar, rakan-rakannya tadi sudah tidak kelihatan. Dia meneruskan perjalanan itu seorang diri ke tapak pembinaan, tempat mereka berkerja. Tanpa disedari pemuda itu telah pun tersesat selama 1 jam, dia mula rasa gelisah.


Oleh kerana dia berada di dalam hutan seorang diri dan belum mempunyai telefon bimbit untuk menghubungi rakannya, pemuda itu menjadi cemas, risau dan semakin ketakutan. Namun, dia tetap meneruskan perjalanan mencari jalan keluar. Ketika itu, pemuda berkenaan ternampak seakan ada orang lain di situ, dia berasa lega kerana boleh bertanya dan mendapatkan pertolongan.


Semakin pemuda ini menghampiri dan cuba memanggil, benda yang dilihatnya tadi tetap berada ditempat yang sama dan tidak bergerak. Lebih pelik apabila objek yang dilihatnya itu agak besar dari manusia biasa. Apabila telah berada lebih dekat, alangkah terkejutnya dia apabila melihat rupanya sosok yang disangka orang itu sebenarnya seekor Dinosaur besar yang amat mengerunkan.


Kakinya menjadi lemah, jantungnya berdegup laju dan dia tidak dapat berjalan dengan betul. Pemuda itu berupaya cuba berlari meninggalkan makhluk tersebut. Oleh kerana terkejut yang amat sangat, pemuda itu yang terjatuh terus merangkak berlari sejauh 1 kilometer dari tempat kejadian sambil menjerit meminta pertolongan.



Bukan itu saja, pemuda itu juga melihat beberapa lagi Dinosaur gergasi di hutan itu ketika melarikan diri. Dengan muka yang agak pucat dan kepenatan, pemuda ini bertanya dengan dirinya sendiri, "Adakah itu hantu... tidak mungkin ada Dinosaur di zaman moden ini?" sahutnya.


Pemuda itu akhirnya bertemu semula dengan rakan-rakan yang kebetulan tengah mencarinya. Selepas bertenang dan pulih dari rasa terkejutnya, dia menceritakan kejadian itu, namun tidak seorang pun di antara mereka tahu berkaitan makhluk penunggu berkenaan. Dengan perasaan takut dan cemas mereka cepat-cepat meninggalkan kawasan itu terus ke tempat kerja.


Apabila tiba di tempat kerja, mereka menceritakan kejadian tadi pada rakan-rakan sekerja yang lain. Kebetulan ada seorang warga tempatan mengetahui misteri disebalik hutan itu, dan menceritakan kisah tentang kewujudan Dinosaur tersebut. Sangkaan mereka melesat apabila mengetahui rupanya kumpulan Dinosaur gergasi itu adalah replika yang dibuat khas sekitar 25 tahun lalu.



Ia sangat cantik, unik seakan benar-benar hidup. Ternyata imaginasi, kemahiran dan ketelitian cara penghasilan replika Dinosaur itu sangat halus dan mengagumkan, menampilkan pelbagai spesies replika Dinosaur dan diletakkan di hutan ini. Berpuluh tahun lalu, hutan ini adalah kawasan Mimaland iaitu sebuah teman tema terbesar di Malaysia ketika itu. Replika Dinosaur ini adalah salah satu tarikan pelancong berkunjung di taman tema tersebut satu masa lalu.


Mimaland adalah sebuah taman tema yang menjadi pilihan ramai selepas memulakan operasi pada 1971, sebelum wujudnya taman tema moden seperti Sunway Lagoon dan Wetworld Water Park Shah Alam. Mimaland mula dibuka pada 1971 di Ulu Gombak dan ditutup sepenuhnya pada 1994 selepas tragedi demi tragedi yang menimpa. Ramai yang percayai kejadian tragedi itu ada unsur mistik yang belum terjawap.


Mimaland terkenal dengan replika Dinasour dan gelungsur air gergasi yang tiada di tempat lain. Taman tema ini juga bercirikan idea moden dilengkapi kolam renang terbesar di Asia Tenggara ketika itu, chalet dan restoran terapung, tasik untuk aktiviti bersampan, memancing dan banyak lagi menarik di Mimaland. Sehingga kini, replika Dinasour ini masih kelihatan di sini.


Mimaland yang terbiar sejak 1994 dan ditumbuhi hutan tebal menjadikan kawasan ini tersenarai tempat paling seram di Malaysia. Taman tema Mimaland 24 tahun terbiar di Ulu Gombak kini menjadi bandar berhantu.


Baca: Misteri Mimaland 24 tahun terbiar di Ulu Gombak kini menjadi bandar hantu


EmoticonEmoticon