Sabtu, 28 November 2020

Misteri ketukan pintu belum berakhir.. Orang tengah masak pun kena kacau..


Sabak Bernam: Bunyi ketukan pintu misteri yang berlaku di daerah ini sejak hampir dua minggu, masih tidak menunjukkan tanda bakal berhenti apabila gangguan itu masih berterusan. Lebih membimbangkan apabila kejadian misteri ini dikatakan semakin menghantui penduduk-penduduk tempatan.


Shafie, 67, berkata, isterinya, Siti Zabedah Fazaldin, 52, dikejutkan dengan gangguan menakutkan pada 1.30 pagi, hari ini. Bunyi ketukan pintu sebanyak tiga kali mengejutkan isterinya yang sedang menyediakan bahan masakan untuk berniaga, di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tebuk Pulai, di sini. 


"Menjadi kebiasaan bagi isteri bangun di awal pagi untuk menyediakan bahan masakan sebelum pergi berniaga di kedai makan di Kampung Baharu, di sini.


"Ketika kejadian, isteri sedang menggoreng ayam di dapur sebelum terdengar bunyi ketukan sebanyak tiga kali di pintu hadapan.


"Apabila dia intai di tingkap untuk memastikan siapa ketuk pintu, tiada sesiapa pun berada di situ menyebabkan dia terkejut dan kelu," katanya ketika ditemui, hari ini.


Shafie berkata, dia berharap gangguan terbabit tidak berulang hingga menimbulkan ketidaktenteraman kepada penduduk di kawasan itu.


Dalam pada itu, penduduk di Taman Air Manis, di sini, turut diselubungi ketakutan apabila gangguan ketukan pintu misteri yang reda sejak dua hari lalu, kembali menghantui mereka.


Penduduk, Siti Noraini Ngah, 36, berkata, bunyi ketukan pada 12.53 tengah malam kelmarin berlaku dua kali ketika dia dan anak sulungnya berusia tujuh tahun menonton televisyen di ruang tamu.


"Ketika kejadian, suami, Abd Halil Yatimi, 40, dan anak bongsu kami berusia tujuh bulan sedang tidur di bilik. Ketika leka menonton televisyen, saya terdengar bunyi ketukan kali pertama di pintu dapur dan menyangka ia bunyi cicak.


"Namun, ketukan kali kedua menyebabkan saya segera mengejutkan suami dan menghubungi Setiausaha Taman Air Manis (Zulkifli Ijoh) untuk datang ke rumah," katanya.


Siti Noraini berkata, dia yang mengintai di tingkap mendapati tiada sesiapa di luar dan menyalakan lampu di luar di bahagian dapur semasa kejadian. Sejak gangguan ketukan pintu berlaku di taman perumahan ini, kehidupan mereka sekeluarga tidak tenteram dan berharap perkara itu berakhir dengan segera.


Sementara itu, Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, sebanyak 11 aduan mengenai gangguan ketukan pintu direkodkan di taman perumahan itu sejak 19 November lalu.


Beliau berkata, sebuah rumah berhampiran pusat kawalan Rondaan Sukarela Cegah Jenayah (RSCJ) turut menjadi mangsa gangguan ketukan pintu itu pada 10.44 malam tadi. Selepas gangguan ketukan pintu itu berlaku, ada penduduk mengadu tidak boleh tidur pada waktu malam dan ini sedikit sebanyak mengganggu rutin harian mereka.


Katanya, bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman penduduk, pihaknya akan tingkatkan lagi rondaan dan dalam masa sama, bekerjasama dengan pihak polis bagi memudahkan urusan.


Baca: 4 kampung diselubungi misteri, diganggu bunyi ketukan pintu yang kuat


EmoticonEmoticon