Khamis, 26 November 2020

Lelaki parah ditetak dengan parang dalam pasar mini


Teluk Intan: Kejadian ngeri berlaku di sebuah pasar mini apabila seorang lelaki parah selepas diserang dan ditetak dua lelaki tidak dikenali, yang dipercayai bersenjatakan parang di Jalan Kampung Banjar di sini, semalam.


Sebelum kejadian, mangsa berusia 46 tahun itu datang ke premis berkenaan untuk membeli barang pada jam 8.30 pagi. Selepas keluar di kedai itu, mangsa berlari masuk ke dalam kedai semula apabila dikejar dua suspek lelaki yang memakai pakaian berwarna gelap. 


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak SAC Anuar Othman, selesai membuat bayaran, mangsa yang keluar dari premis mendapati sebuah kereta jenis Honda City berwarna kelabu berhenti berdekatan dengannya.


"Dua lelaki yang memakai pakaian berwarna gelap berserta topeng keluar daripada kereta itu sambil masing-masing membawa sebilah parang berukuran 0.6 meter.


"Mangsa berlari masuk ke dalam kedai namun dikejar kedua-dua suspek itu sehingga terjatuh, sebelum mereka menetak mangsa di tangan dan kakinya dengan parang beberapa kali.


"Dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan Honda City yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil. Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami luka kesan tetakan senjata tajam di lengan dan peha kanan selain siku dan lutut kiri.


"Selain itu, hasil pemeriksaan menerusi ujian X-ray mendapati mangsa patah tulang siku kiri, tulang pengumpil lengan kiri dan kanan serta tulang peha kanan," katanya.


Ujarnya polis turut melakukan pemeriksaan di lokasi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek kejadian itu bagi membantu siasatan.


Terdahulu, rakaman CCTV yang menunjukkan mangsa berlari masuk ke dalam kedai sambil dikejar dua lelaki yang memakai penutup muka dengan membawa senjata tular di media sosial.


Pekerja dan pelanggan yang berada di kedai itu dilihat ketakutan dan ada pelanggan yang terus berlari keluar untuk menyelamatkan diri.


EmoticonEmoticon