Jumaat, 27 November 2020

Lelaki khayal dadah, langgar polis didakwa


Ipoh: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah, sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan parah seorang anggota polis di satu sekatan jalan raya di sini Selasa lalu.


Mengikut pertuduhan, penganggur itu didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya dan mengakibatkan kecederaan kepada Koperal Mohd. Aizal Md. Lazim di satu sekatan jalan raya di Jalan Silibin di Ipoh pada pukul 11.15 pagi, 24 November lalu.


Tertuduh, Nor Azman Mat Salleh, 35 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar. Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44 (1A) akta yang sama.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang RM30,000 dan tidak lebih RM50,000 dan penjara selama tempoh tidak kurang tujuh tahun dan tidak lebih 10 tahun.


Timbalan Pendakwa Raya, Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan dengan alasan isterinya sedang hamil. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.


Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Januari tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.


Dalam kejadian Selasa lalu, Mohd. Aizal dari Cawangan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dilanggar seorang penunggang motosikal yang cuba meloloskan diri dari sekatan jalan raya (SJR).


Rempuhan motosikal dari arah belakang itu menyebabkan mangsa melambung sebelum terjatuh dan terseret sejauh lebih lima meter di atas jalan. Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka, tangan dan badan.


EmoticonEmoticon