Jumaat, 20 November 2020

Kutip derma depan bank, guna surat tamat tempoh


Alor Setar: Seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun disyaki mengutip derma tanpa kebenaran ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam (JAIK), di hadapan sebuah bank di Pekan Jitra, hari ini.


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya bertindak menahan lelaki berkenaan setelah menerima aduan awam berhubung kegiatan itu sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang berasal dari Perak dan menetap di Sungai Petani itu dikatakan menggunakan surat kebenaran tamat tempoh ketika memungut derma berkenaan.


"Berdasarkan siasatan, surat kebenaran untuk memungut derma itu hanya dibenarkan sehingga 2018.


"Lelaki berkenaan ditahan pada 3.45 petang tadi untuk membantu siasatan, surat kebenaran untuk memungut derma itu hanya dibenarkan sehingga 2018," katanya ketika dihubungi hari ini.


Radzi berkata, pihaknya turut merampas bangku, tabung, sijil wakaf, wang tunai RM33, resit kutipan dan lesen kutipan derma tamat tempoh.


Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 69, Enakmen Pentadbiran Undang2 Islam Kedah 2008 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.


Beliau berkata, saya ingin menasihatkan orang ramai supaya meneliti dokumen yang dibawa oleh pengutip derma sebelum menghulurkan sumbangan.


EmoticonEmoticon