Isnin, 23 November 2020

Ketukan kini disusuli tangisan, polis akan ambil tindakan tegas terhadap pelakunya


Sabak Bernam: Penduduk di beberapa kampung di daerah ini terus dihantui misteri diganggu dengan bunyi pintu rumah mereka diketuk tanpa salam, sejak 18 November sehingga malam tadi.


Malah, ada penduduk terdengar bunyi suara menangis merintih seolah-olah minta pertolongan. Tangisan itu didengari selang beberapa minit pintu rumah diketuk, suara itu mendayu-dayu dekat tepi tingkap, dakwa seorang penduduk.


Polis menerima satu laporan daripada seorang pemimpin peringkat kampung yang mendakwa rumahnya diganggu sebanyak dua kali termasuk 24 rumah penduduk di kampung terbabit. Laporan diterima pada jam 4.30 petang semalam dan siasatan sedang dijalankan.


Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menakut-nakutkan penduduk berikutan kejadian tular ketukan pintu yang mengganggu penduduk beberapa kampung di daerah ini pada waktu malam.


Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pesalah yang melakukan perbuatan itu boleh dikenakan tindakan kerana mengundang ketakutan dan kegusaran kepada orang awam.


"Individu atau pihak terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan atau Seksyen 13(1)(c) Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya hari ini (23/11/2020).


"Mangsa mendakwa ketukan pintu berlaku dari 18 November lalu hingga semalam bermula dari jam 11 malam dan berlarutan sehingga jam 6 pagi," katanya.


Berita Berkaitan


EmoticonEmoticon