Rabu, 25 November 2020

Kes tembak anggota PGA, 18 lelaki direman termasuk 3 lelaki Thailand


Kangsar: Seramai 18 lelaki termasuk tiga warga Thailand direman di Mahkamah Majistret di sini, bagi membantu siasatan kejadian berbalas tembakan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Padang Besar, semalam.


Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah selepas mendapat permohonan polis bagi menyiasat semua suspek berusia antara 19 hingga 37 tahun berkenaan. Tiga warga Thailand direman selama tujuh hari sehingga 1 Disember ini, manakala 15 warga tempatan pula direman selama empat hari sehingga 28 November.


Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Difahamkan, warga tempatan ditahan itu menjadi antara ahli sindiket penyeludupan dadah dan ketum yang aktif di sempadan Malaysia-Thailand.


Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, semua tangkapan 18 individu itu dilakukan di sekitar negeri ini mulai jam 7 pagi semalam. Kesemua suspek dipercayai menjadi anggota sindiket penyeludupan ketum yang mempunyai kaitan dengan sindiket di negara jiran.


Mendiang Baharuddin, daripada suku kaum Semelai meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Norihan kini menjalani rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.


Dalam kejadian awal pagi semalam, seorang anggota PGA, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut akibat terkena dua das tembakan di dada dan perut, manakala rakannya, Koperal Norihan a/l Tari, 39, cedera parah terkena tembakan di perut apabila berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar.


EmoticonEmoticon