Kuala Lumpur: Seorang ejen insurans berpakat dengan pemilik sebelum membakar kenderaan menggunakan kerosin kerana mahu mendapatkan komisen tuntutan insurans. Bertindak atas maklumat, pihak polis melakukan tangkapan terhadap lelaki tempatan berusia 35 tahun di hotel di Genting Highlands, Bentong, Pahang 11 malam, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, terdapat tiga kes diterima pihaknya tahun ini membabitkan kejadian kenderaan dipercayai dibakar dengan sengaja, hingga mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat di kondominium di Sri Putramas.
"Kejadian pertama dilaporkan pada 9 Jun lalu membabitkan tiga kereta, manakala kejadian kedua pada 4 Julai lalu membabitkan tiga kereta dan kejadian ketiga pada 16 November lalu membabitkan dua kereta.
"Semua kejadian itu berlaku antara 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi. Jumlah keseluruhan kereta yang dibakar adalah lapan membabitkan model Mercedes Benz, Bentley, Toyota, Perodua dan Nissan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit menetap di Taman Kepong Baru, Kuala Lumpur dan bekerja sebagai ejen insurans. Hasil soal siasat dilakukan mendapati modus operandi kegiatan suspek adalah mengenal pasti pemilik dan kemudian berpakat dengan mereka (pemilik) sebelum membakar kenderaan menggunakan gas kerosin untuk mendapatkan komisen tuntutan insurans.
Dengan penahanan suspek berkenaan, pihak polis yakin telah berjaya menyelesaikan tiga kes kenderaan dibakar di kondominium Sri Putramas. Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkaitan penipuan dan judi.
Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam hingga 20 November ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media tempatan melaporkan mengenai dua kenderaan terbakar yang diparkir di Jalan Putramas 1, di Sentul, dipercayai akibat perbuatan khianat. Hasil siasatan pihak Bomba mendapati terdapat kesan simbahan petrol di kedua-dua kenderaan berkenaan.
EmoticonEmoticon