Ahad, 29 November 2020

Doktor falsafah maut ditetak perompak


Kuala Lumpur: Warga emas bergelar doktor falsafah maut dipercayai ditetak. Pembunuhan seorang bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bergelar doktor, pagi tadi dipercayai dilakukan sekurang-kurangnya dua orang lelaki dalam kejadian rompakan di rumahnya di Bangsar di sini, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa bersama isterinya berada di rumah sebelum diserang dua lelaki bersenjata tajam yang memecah masuk rumah mereka.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika bekalan elektrik di kawasan perumahan berkenaan terputus. Polis menerima panggilan daripada seorang wanita yang juga anak mangsa pada 4.01 pagi.


"Berdasarkan maklumat awal, dua lelaki bersenjata tajam memecah masuk rumah mangsa. Menurut isteri, mangsa terdengar bunyi bising di bahagian dapur rumah kira-kira 3.30 pagi.


"Dua lelaki tidak bertopeng dan berparang meminta duit. Mangsa cuba melawan dan seterusnya ditetak. Isteri mangsa turut ditetak di bahagian bahu kanan.


"Mangsa cedera ditetak suspek di bahagian leher dan badan manakala isteri ditetak di bahagian tangan. Suspek kemudian mengambil barang-barang berharga, namun belum dapat dipastikan. Suspek melarikan diri melalui tingkap dapur," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, mangsa Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera parah dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.


Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis sedang giat mengesan suspek.


EmoticonEmoticon