Khamis, 12 November 2020

Dilaporkan hilang rupanya balik kampung, misi mencari dihentikan serta merta


Seorang lelaki warga Indonesia dilaporkan hilang ahad lalu (08/11/2020), ketika memancing berdekatan rumah panjang di sini, rupa-rupanya balik ke kampung halamannya di Kalimantan.


Isteri lelaki terbabit yang menghubungi rakan sekerja suaminya itu di ladang kelapa sawit SALCRA Batang Ai di Lubok Antu, hari ini memaklumkan bahawa suaminya berada di kampung.


Kehilangan warga Indonesia itu yang hanya dikenali sebagai Suhadi, 37, dilaporkan oleh rakannya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu, Selasa lalu. Susulan laporan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


Operasi itu yang turut disertai anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pekerja ladang kelapa sawit SALCRA melakukan pencarian di kawasan ladang serta anak sungai yang didakwa lokasi terakhir lelaki itu dilihat sedang memancing.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak berkata, operasi pencarian diperhebatkan dengan anjing pengesan dari Unit K9 bomba turut digunakan bagi menjejaki lelaki itu.


"Ketika SAR masuki hari ketiga hari ini, pada 10.05 pagi tadi, wakil dari ladang kelapa sawit SALCRA itu datang ke IPD Lubok Antu memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada isteri Suhadi memaklumkan lelaki itu sebenarnya berada di kampungnya di Kalimantan, Indonesia


"Sebaik menerima maklumat itu, SAR yang membabitkan beberapa agensi penyelamat dihentikan serta merta," katanya.


EmoticonEmoticon