Baling: Seorang lelaki yang mendaki gunung maut selepas terjatuh dari cerun setinggi kira-kira 100 meter di Gunung Gua Sireh, Baling, pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Amir Hakimi Md Ali, 22, dari Kampung Padang Che Mas, Pulai dekat ini, bersama sepupunya memanjat gunung tersebut untuk mencari pokok paku aji yang tumbuh di celahan batu gunung.
Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
"Mangsa pergi ke kawasan gunung itu untuk mencari pokok tersebut kira-kira pukul 10 pagi, mangsa kemudian dipercayai terjatuh pada ketinggian 100 meter kira-kira sejam kemudian dan dia disahkan maut di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat. Kes diklafisikasi sebagai mati mengejut dan tidak ada unsur jenayah," katanya di sini.
Mangsa memperoleh pendapatan dengan menjual pokok berkenaan bagi menampung perbelanjaan keluarga.
Sementara itu, ibu saudara mangsa, Siti Bunga Ayob, 55, berkata, mangsa sering menaiki gunung tersebut untuk mendapatkan pokok paku aji yang cantik dan tinggi nilainya.
Tambahnya, perubahan terakhir arwah apabila dia menyatakan tidak mahu lagi memanjat gunung itu dan hari ini merupakan kali terakhir dia berbuat demikian.
EmoticonEmoticon