Ahad, 29 November 2020

Cari akses Internet pelajar jatuh jambatan di Ranau, CCT akan pasang satelit mini


Putrajaya: Sebelum ini, tular di media sosial berhubung kejadian sekumpulan remaja dilaporkan terjatuh ketika menyusuri jambatan gantung untuk mendapatkan rangkaian Internet bagi mengikuti kelas dalam talian, termasuk tiga pelajar SMK Ulu Sugut di Kampung Gusi, Ranau, pada malam selasa lalu.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, Common Towers Technologies And Bhd (CCT) akan memasang stesen satelit mini (VSAT) di Kampung Gusi, Ranau, Sabah, susulan insiden tiga pelajar terjatuh dari jambatan gantung di perkampungan itu. Pemasangan itu akan dilakukan selewat-lewatnya pertengahan Disember ini.


Katanya, ia adalah penyelesaian sementara yang mendapat sokongan dari anak syarikat penuh Warisan Harta Sabah Sdn Bhd, bagi penyediaan perkhidmatan jalur lebar melalui penggunaan teknologi VSAT.


Menurutnya, inisiatif itu adalah tanggungjawab sosial korporat (CSR) CTT.


"Pengurus Besar CTT, Law Chun Ming mengesahkan, pemasangan VSAT akan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 15 Disember ini.


"Selain itu, tiga menara telekomunikasi akan dibina berhampiran Kampung Gusi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).


"Lokasi itu dinyatakan dalam dokumen tender yang dikeluarkan oleh SKMM pada 20 November lalu," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.


Sementara itu, SKMM turut meluahkan simpati terhadap insiden menimpa tiga pelajar berkenaan. Pihaknya sempat bertemu Ketua Kampung Gusi, Galam Abdullah untuk bertanyakan khabar keadaan ketiga-tiga pelajar berkenaan dan mendoakan mereka sembuh secepat mungkin.


SKMM turut menasihati semua pelajar supaya tidak membahayakan diri dalam usaha mencari capaian Internet. Akibat kejadian itu, seorang daripada mereka patah kaki dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.


EmoticonEmoticon