Ahad, 29 November 2020

Berang dihalang cubaan rogol, campak budak dari tingkat 3


Kuala Lumpur: Suspek warga Nigeria berusia 42 tahun cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu, namun perbuatan itu dihalang isterinya, dan anak-anak tiri yang lain. Berang dengan tindakan itu, suspek mengamuk dan mencampak kanak-kanak berusia 4 tahun dari tingkat tiga apartment di Danau Kota, di sini, hari ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8 pagi sebelum sepasukan polis Wangsa Maju dengan bantuan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan D9 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.


"Siasatan mendapati, suspek warga Nigeria berusia 42 tahun cuba merogol salah seorang anak tirinya yang sedang tidur di ruang tamu. Bagaimanapun, perbuatan itu cuba dihalang isteri, 49, dan anak-anak tiri lain berusia 19 hingga 29 tahun.


"Berang dengan tindakan itu, suspek dilaporkan mengamuk dan memukul semua mangsa (termasuk isteri, anak-anak tiri serta mangsa) yang berada di dalam rumah berkenaan," katanya.


"Isteri dan anak-anak tiri suspek cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah untuk dapatkan bantuan jiran dan pengawal keselamatan, suspek kemudian mengangkat cucu tirinya, membawanya ke tingkap luar bilik utama dan mencampaknya keluar," katanya. 


Beliau berkata, suspek juga melompat keluar melalui tingkap sama. Suspek yang cedera akibat terjun dari tingkat tiga tidak dapat melarikan diri dan ditangkap oleh pengawal keselamatan dan orang awam sebelum diserahkan kepada polis. 


Suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan sebelum ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksan. Mangsa lain yang cedera turut dibawa ke HKL untuk mendapat rawatan manakala mayat kanak-kanak terbabit dibawa ke HKL untuk proses bedah siasat.



Idayu adalah saksi kejadian yang turut membantu menyelamatkan isteri daripada dipukul suspek.


 "Saya lihat suspek membaling telefon pintar terlebih dahulu sebelum mencampak Adam yang berusia empat tahun dari kediamannya," kata Idayu Ismail, 24.


Menceritakan kejadian, Idayu berkata, pada 7.40 pagi, dia terdengar bunyi bising dari kediaman di tingkat tiga itu.


"Namun selepas itu saya melihat jiran saya menarik ibunya dalam keadaan berlumuran darah dan dalam keadaan berbogel di tangga hadapan rumah saya.


"Saya dan keluarga menyelamatkan wanita itu namun tidak lama kemudian saya melihat suspek yang juga dalam keadaan bogel membaling telefon pintar dari tingkat atas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.


Menurutnya, tidak lama kemudian suspek mencampak kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.


"Kanak-kanak itu memang kami kenali sebagai Adam. Keadaan panik saya kemudian menghubungi polis.


Katanya, sebelum kejadian tidak ada perkara aneh termasuk malam sebelum kejadian. Sebelum ini, keluarga mereka tidak pernah bergaduh dan selalu turun ke bawah untuk berekreasi.


EmoticonEmoticon