Klang: Kerana berang, seorang lelaki bertindak luar jangkaan dengan membakar rumah rakan sekerjanya di Taman Sentosa dekat sini, Ahad lalu, selepas tidak berpuas hati terhadap adik iparnya yang menumpang di rumah itu.
Difahamkan, lelaki berkenaan dipercayai tidak berpuas hati kerana adik iparnya itu mahu bercerai dengan adik perempuannya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tiga motosikal dan sebuah kereta Perodua Myvi musnah dalam kebakaran pada 5.20 pagi itu.
"Sepasukan Unit Kereta Peronda (MPV) dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada 5.24 pagi.
"Siasatan mendapati kejadian berpunca daripada masalah rumah tangga adik perempuan suspek," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, suspek juga dikatakan tidak mahu mangsa menumpang di rumah rakan sekerjanya itu selain tidak mahu mangsa terus tinggal di daerah ini. Mangsa dikatakan menumpang di rumah rakan sekerjanya itu sejak enam bulan lalu.
Beliau berkata, polis berjaya menahan dua suspek di kawasan berhampiran pada 12 tengah hari dan 4 petang kelmarin. Semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 32 dan 35 tahun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Hasil soal siasat juga mendapati mereka mengaku melakukan jenayah berkenaan bersama seorang lagi rakan.
Kedua-dua suspek berkenaan di reman selama tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.
Sumber: Harian Metro
EmoticonEmoticon