Rabu, 25 November 2020

Asteroid sebesar hampir 1 kilometer rempuh orbit Bumi hujung minggu ini


Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) meramalkan sebutir asteroid menyamai saiz bangunan tertinggi dunia, Burj Khalifa (828 meter) dan diameter 0.51 kilometer (510 meter) akan merempuh orbit Bumi, dengan jarak paling hampir dijangka pada 29 Nov ini, lapor akhbar Daily Star.


Menurut NASA, asteroid yang dinamakan 153201 2000 WO107 itu kini bergerak di angkasa lepas pada kelajuan 90,123 ki­lometer sejam. Bagaimanapun, asteroid gergasi yang diklasifikasikan sebagai Asteroid Menghampiri Bumi (NEA) itu tidak mungkin melanggar Bumi atau menyebabkan malapetaka.


Orang ramai tidak dapat ­melihatnya menggunakan te­leskop biasa dari Bumi, dijangka asteroid itu akan membuat lintasan pada pukul 10.09 pagi waktu ­Greenwich. Kehadiran asteroid itu memberi peluang kepada saintis untuk mengkajinya dengan lebih terperinci.


2000 WO107 dikategorikan sebagai objek hampir dengan Bumi (NEO) kerana berada dalam lingkungan 1.3 batu astronomi dari Bumi. Walaupun kedengaran seperti sangat hampir, namun realitinya jika dihitung jarak kilometer ia terlalu jauh dari Bumi.


Batu gergasi tersebut turut dikelaskan sebagai asteroid Apollo yang mana ia akan bertembung dengan orbit Bumi ketika bergerak di angkasa. Asteroid itu diramal tidak akan menghentam Bumi.


Berdasarkan Pelan Tindakan dan Strategi Kesiapsiagaan NASA, NEO yang mempunyai saiz 1 kilometer boleh mengakibatkan kemusnahan dahsyat. Pada 29 Nov 2000, asteroid sama telah dikenal pasti saintis New Mexico buat kali pertama.


Asteroid adalah objek atau batu tanpa udara yang dihasilkan daripada kesan pembentukan sistem suria sekitar 4.6 bilion tahun lalu. Pakar-pakar astronomi mengesan hampir 2,000 aste­roid, komet dan objek lain yang dikatakan menjadi ancaman kepada Bumi.


Baca: Jadi jutawan segera, batu dari langit jatuh atas bumbung dijual RM7.6 juta


EmoticonEmoticon