Khamis, 5 November 2020

Vaksin Covid-19 diwajibkan, percuma untuk 18 tahun ke atas


Buenos Aires: Vaksin Covid-19 akan diwajibkan dan percuma di Argentina untuk mereka berusia lebih 18 tahun, lapor agensi berita Xinhua memetik seorang pegawai Kementerian Kesihatan negara itu.


Ketua Kakitangan Kementerian Lisandro Bonelli dalam satu temu bual dengan radio tempatan berkata vaksin itu 'wajib' untuk melindungi kepentingan individu dan semua.


Rakyat berusia lebih 60 tahun yang menghidap pelbagai penyakit serta petugas penjagaan kesihatan penting dan anggota keselamatan akan diberi keutamaan untuk mendapat vaksin sebelum penduduk lain yang berumur lebih 18 tahun, katanya.


Kerajaan merancang untuk mendapatkan 10 juta dos vaksin Sputnik V Rusia pada akhir Disember, sekiranya ujian klinikal fasa ketiga vaksin berjaya.


Sebanyak 15 juta dos lagi akan diperoleh pada Januari, bergantung kepada semua prosedur pengesahan peraturan nasional dan antarabangsa, kata Bonelli.


Argentina mencatatkan kes pertama Covid-19 pada 3 Mac, dan telah melaporkan lebih 1,195,000 kes jangkitan dan lebih 32,000 kematian.


EmoticonEmoticon