Ahad, 15 November 2020

Tentera tahan PATI cuba seludup barang bernilai RM500 ribu


Kuching: Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menahan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI), tiga daripadanya terlibat dengan aktiviti penyeludupan, dalam dua operasi berasingan di sempadan Malaysia-Indonesia, semalam.


Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, dalam kejadian pertama pada 5.15 petang semalam, sepasukan anggota yang menjalankan rondaan dalam Op Benteng menahan lima PATI di rumah di Tebedu.


"Kelima-lima PATI itu dikenal pasti sedang menunggu seseorang untuk menghantar mereka ke sempadan.


"Selepas diperiksa dan disoal siasat, kelima-lima PATI mengaku bekerja di Bintulu dan hendak balik ke Kalimantan Barat menggunakan laluan tikus sempadan Malaysia-Indonesia.


"Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Tebedu untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Dalam kejadian kedua di Lubok Antu pada 7.50 malam pula, tiga warga Indonesia dan dua rakyat tempatan ditahan kira-kira 400 meter dari sempadan.


Sebelum itu, anggota yang terbabit dalam operasi berkenaan mengintip pergerakan lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan apabila berulang alik dari sempadan dengan lokasi yang dikenali sebagai 'Pondok John' oleh penduduk tempatan.


Gelagat lelaki itu jelas menunjukkan dia sedang meninjau untuk memastikan tiada pasukan keselamatan sedang membuat rondaan di kawasan itu.


"Selepas berulang-alik buat kali ketiga, kelihatan penunggang motosikal itu mengiringi dua pacuan empat roda dari arah Malaysia menghala ke arah sempadan Indonesia.


"Anggota yang sedang dalam kedudukan SERKAP (serang dan tangkap) segera keluar dan menahan dua kenderaan pacuan empat roda itu. Bagaimanapun penunggang motosikal berjaya melepaskan diri," katanya.


Beliau berkata, selepas diperiksa dua kenderaan terbabit dinaiki tiga orang warga Indonesia dan dua penduduk tempatan termasuk seorang remaja perempuan.


"Mereka membawa 14 tong gas memasak, 96 papan telur ayam, beberapa bungkus kayu gaharu yang kira-kira bernilai RM400,000, 573 botol minuman keras dan 143 pek serbuk minuman malt," katanya.


Katanya lagi, lima telefon bimbit, dua kenderaan, sejumlah wang Malaysia dan Indonesia serta alat memotong kayu gaharu juga turut dirampas.


Nilai keseluruhan barang yang dirampas dianggarkan hampir RM500,000 dan kesemua suspek penyeludup itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubuk Antu untuk siasatan lanjut.


EmoticonEmoticon