Rabu, 11 November 2020

Rodok perut anjing, tukang welding dijel 12 bulan


Jasin: Tindakan tidak berperikemanusiaan seorang tukang kimpal merodok perut seekor anjing sehingga menyebabkan haiwan itu mati berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, semalam.


Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Surais, 38, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh seekor anjing milik G.N.M. Pusparani, 50, menggunakan senjata tajam kira-kira pukul 9.30 malam di sebuah rumah di Jalan Teratai, Taman Maju pada 5 November lalu.


Tertuduh juga didapati dengan sengaja melakukan pencerobohan dengan memasuki rumah pemilik anjing tersebut pada waktu dan tarikh yang sama. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5, 000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan. Anjing malang itu disahkan mati pada pukul 2.45 pagi di sebuah pusat veterinar semasa dirawat.


Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dalam bentuk denda diberikan dengan alasan anjing sama pernah mengejarnya sehingga menyebabkannya terjatuh dari motosikal ditunggangi dan mengalami kecederaan. Tertuduh turut mengakui dia juga ada memelihara seekor anjing di rumahnya.


Pendakwa dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd. Yunos memohon hukuman penjara diberikan dengan mengambil kira faktor ketidakberperikemanusiaan tertuduh, selain haiwan itu terseksa lebih lima jam menanggung kesakitan.


Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Suzana kemudian menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi pertuduhan membunuh haiwan dan empat bulan atas kesalahan menceroboh. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 5 November lalu.


EmoticonEmoticon