Sabtu, 14 November 2020

Posmen maut terlanggar lori, isteri sarat hamil anak pertama


Kuala Lumpur: Tular di laman media Facebook, seorang Posmen yang menaiki motosikal terlibat dalam satu kemalangan, barangan yang sepatutnya dihantar bersepah di tengah jalan. Mangsa tersebut dikatakan maut di tempat kejadian Kilometer 301.1 Lebuhraya KL-Seremban menghala utara, semalam.


Dalam kejadian 11.30 pagi itu, mangsa Muhammad Radzi, 28, terlanggar bucu lori dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Menerusi salah satu komen, dikatakan isteri mangsa kini sedang sarat hamil dan hanya menanti masa untuk bersalin anak pertama mereka.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa yang maut menaiki motosikal jenis Modenas.


"Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang di lorong kecemasan terlanggar bucu sebelah kanan sebuah lori yang mengalami masalah enjin dan sedang bergerak perlahan dipandu seorang lelaki berusia 23 tahun.


"Lori yang mengalami masalah kerosakan enjin itu turut menyalakan lampu kecemasan, juga berada di lorong kecemasan.


"Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan menghantar barangan PosLaju di kawasan Bandar Seri Mahkota, Bangi," katanya.


Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan peha patah serta meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang dan bedah siasat dilakukan hari ini.


Sementara itu, kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan Puspakom. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.


EmoticonEmoticon