Sabtu, 7 November 2020

Pisau diguna bunuh Siti Nur Surya ditemui


Hulu Terengganu: Sebilah pisau dipercayai senjata digunakan dalam pembunuhan Siti Nur Surya Ismail, 19, sudah dijumpai polis.


Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, senjata tajam itu ditemui di tepi Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada jarak antara empat hingga lima kilometer dari lokasi kejadian.


Katanya, pihaknya percaya ia adalah pisau digunakan dalam kejadian itu yang diambil daripada rumah mangsa.


"Sehingga kini, hampir 20 saksi termasuk ahli keluarga mangsa dan suspek sudah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.


"Kita sedang melengkapkan siasatan dan Insya- Allah dalam minggu depan, kita akan rujuk kes ini pada pihak pendakwa raya untuk arahan lanjut bagi penyiasatan kes," katanya. 


Portal tempatan sebelum ini melaporkan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun (laporan awal) di Kampung Lubok Batu, Telemong, Kuala Berang, pada Ahad lalu.


Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa ditemui tertiarap di ruang tamu rumah berkenaan oleh adiknya, Siti Nur Syuhada, 15, yang baru pulang dari sekolah.

 

Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun yang juga rakan baik Siti Nur Surya telah ditahan selepas memberi keterangan di Balai Polis Telemong di sini sehari kemudian sebelum direman selama seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Baca: Kes bunuh, rakan sekolah Surya direman 7 hari


EmoticonEmoticon