Rabu, 4 November 2020

Pesara rugi lebih RM1 juta, pelaburan emas tidak wujud


Taiping: Gara-gara terpedaya dengan pujuk rayu rakan wanita yang dikenali menerusi aplikasi sosial OkCupid. Impian seorang pesara memperoleh pulangan hampir 10 kali ganda hasil pelaburan emas musnah bila kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya skim pelaburan emas tidak wujud.


Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata mangsa iaitu lelaki berumur 60 tahun itu ditawarkan oleh seorang wanita yang dikenalinya menerusi aplikasi temu janji dalam talian untuk melabur dalam skim pelaburan emas yang dikenali sebagai 'Alpha Tradex'.


"Mangsa memasukkan wang berjumlah RM1,177,950 secara berperingkat melalui lapan akaun yang diberikan oleh suspek terbabit, mendakwa dirinya sebagai wanita warga Singapura, bagi pelaburan itu.


"Kononnya, hasil pelaburan yang ditawarkan itu membolehkan mangsa mendapat keuntungan mencecah AS$2,712,447 (RMRM11,278,353.54)," katanya dalam kenyataan malam tadi.


Osman berkata, ketika ingin menunaikan (mengeluarkan) wang keuntungan dari pelaburan itu, mangsa diberikan satu resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaunnya.


"Bagaimanapun, apabila membuat semakan pada akaun miliknya, mangsa mendapati tiada kemasukan wang seperti yang tercatat pada resit berkenaan.


"Mangsa seterusnya membuat semakan di bank, sebelum mendapati resit transaksi yang ditunjukkan oleh suspek adalah palsu. Beliau kemudiannya,membuat laporan polis mengenai kerugian yang ditanggungnya," katanya.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan siasatan lanjut masih diteruskan.


EmoticonEmoticon