Khamis, 12 November 2020

Pandu kereta lawan arus, sebabkan kemalangan suspek ditahan


Tapah: Tindakan berbahaya seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, memandu kereta Perodua Axia secara melawan arus di Lebuhraya PLUS semalam menyebabkan kemalangan, membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler. 


Video yang dirakam saksi berdurasi 16 saat tular di Facebook, menunjukkan Axia tersebut dipandu secara melawan arus sebelum bertembung dengan kereta Toyota Rush. Sebuah lori yang berada di lorong kiri tidak sempat mengelak lalu merempuh kedua-dua kereta itu kira-kira jam 6.06 petang.


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu yang dalam perjalanan dari Klang menghala ke Bidor.


"Bagaimanapun tiba di susur masuk Sungkai, suspek bertindak berpatah balik dipercayai mahu lari dari sekatan jalan raya di tol berkenaan.


"Lelaki itu memandu di lorong kanan secara melawan arus sejauh 1.4 kilometer dari susur masuk tol Sungkai sehingga Kilometer 355.4 lebuh raya tersebut," katanya.



Menurutnya, tiba di lokasi berkenaan, sebuah kereta jenis Toyota Rush yang berada di lorong kanan dan treler muatan mesin sarung tangan di lorong kiri lebuh raya tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kenderaan suspek.


"Pertembungan menyebabkan kereta Toyota Rush dipandu lelaki berusia 25 tahun berpusing beberapa kali, namun tiada sebarang kecederaan berlaku," katanya.


Beliau berkata, semakan lanjut kemudiannya mendapati, suspek baru sahaja selesai membuat ujian pengesanan koronavirus (Covid-19) di Klang dan mahu pulang ke kampungnya di Bidor sempena cuti Deepavali.


Katanya, suspek telah ditahan di kediamannya di Bidor kira-kira jam 11 pagi tadi bagi membantu siasatan.


EmoticonEmoticon