Kuala Lumpur: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Joe Biden yang dilaporkan memenangi pilihan raya presiden AS dan berharap dengan perkembangan itu, Malaysia dapat menjalin hubungan yang lebih baik dengan AS.
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhyiddin mengatakan Malaysia, sebagai negara membangun, sangat mementingkan hubungannya dengan AS.
"Malaysia berharap dapat memperkukuhkan lagi kerjasama ini dengan AS di bawah Biden ketika masyarakat antarabangsa berusaha mengatasi banyak cabaran global, termasuk kesan buruk dari pandemik Covid-19.
"Saya ucapkan selamat berjaya kepada presiden terpilih Biden dalam menjalankan tugas, dan berharap dapat bertemu dengannya secara peribadi jika ada peluang," kata Muhyiddin.
Setelah pengiraan undi selama empat hari, media melaporkan Biden sebagai pemenang pilihan raya presiden AS awal pagi malam tadi. Pencabar Biden, Donald Trump bagaimanapun belum akur kalah.
Ini lima fakta ringkas presiden baharu Amerika Syarikat.
Hampir 30 tahun menanti, Joseph Robinette Biden Jr. atau Joe Biden, 77, kini menggalas tugas berat sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46.
- Biden pernah mengalami masalah gagap semasa remaja. Ia tidak menghalangnya melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang dan di sana, dia bertemu seorang rakan yang membantunya mengatasi masalah itu.
- Beliau dipilih sebagai senator ketika berusia 29 tahun.
- Biden pernah mencalonkan diri sebagai presiden pada tahun 1988 dan 2008. Beliau merupakan Naib Presiden semasa pentadbiran Barack Obama.
- Biden tidak pernah minum minuman keras kerana sejarah masalah ketagihan alkohol pernah berlaku dalam keluarganya.
- Pada 18 Disember 1972, isteri dan anak perempuannya yang berusia setahun terbunuh dalam kemalangan jalan raya. Dua anak lelakinya, Beau dan Hunter, cedera parah, tetapi berjaya pulih sepenuhnya. Tragedi itu membuatkan Biden hampir bersara dari politik.
EmoticonEmoticon