Khamis, 19 November 2020

Mayat atas Jalan Bangsar, Kesan kelar di leher


Kuala Lumpur: Susulan penemuan mayat lelaki di atas jalan raya, polis menutup laluan di Jalan Bangsar, pagi tadi. Mayat tersebut dipercayai mangsa bunuh ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan kelar di leher. 


Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan berkenaan pada jam 5.38 pagi.


"Setelah dimaklumkan kejadian itu, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.


"Pemeriksaan ke atas mangsa tidak menemui sebarang pengenalan diri dan dipercayai berusia 30-an," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Zairulnizam berkata, pasukan forensik yang menjalankan siasatan berhubung kes bunuh di lokasi terbabit mengesahkan, mendapati mangsa mempunyai kesan kecederaan di beberapa bahagian badan.


"Mayat dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat, siasatan lanjut berhubung kejadian kini sedang dijalankan, polis juga sedang mengesan keluarga atau waris mangsa.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung mangsa boleh menyalurkan kepada polis, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Pagi tadi, laluan di Jalan Bangsar ditutup kira-kira sejam bagi memberi ruang pasukan forensik melakukan siasatan.


Sumber: Harian Metro


EmoticonEmoticon