Jumaat, 13 November 2020

Lelaki larikan kenderaan Nissan Navara ditemui mati reput dalam ladang sawit


Hulu Terengganu: Mayat seorang lelaki berusia 31 tahun ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Cherang Nibong di Ajil dekat sini, hari ini. Mayat lelaki berkenaan dipercayai sudah meninggal dunia sejak tiga minggu lalu.


Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, seorang penternak lembu, Yusoff Mat Nih, 60, yang sedang mencari haiwan ternakannya terkejut dengan penemuan satu mayat sudah reput di tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara. 


Menurut Yusoff, dia terpanggil untuk menghampiri kenderaan itu berikutan curiga dengan kedudukannya yang tidak berubah sejak kali pertama dilihat pada petang Selasa lalu.


"Pada mulanya saya sangka mangsa berehat dalam kereta tetapi petang tadi, saya dapati kenderaan dan mangsa masih berada di tempat sama jadi saya cuba mengampirinya.


"Saya terkejut melihat lelaki dihurung lalat dan segera maklumkan kepada orang kampung dan menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat tersebut kira-kira pukul 5 petang.


Beliau berkata, si mati ditemui dalam keadaan berpakaian lengkap dan dompet abang iparnya juga ditemui di dalam kenderaan pacuan empat roda tersebut.


"Mangsa didapati melarikan kenderaan pacuan empat roda itu tiga minggu lalu ketika dibawa abang iparnya ke Balai Polis Ajil berhubung kes dadah," katanya.


Menurut Mohd. Adli, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kematian. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.


EmoticonEmoticon