Kuala Lumpur: Pelakon popular Fizo Omar menasihatkan sesetengah peminat agar memahami situasi seorang artis pujaan mereka sekiranya bertemu di tempat awam, apatah lagi ketika selebriti berkenaan sedang menikmati makanan.
Menerusi Instagramnya, Fizo atau nama sebenar Wan Hafizol Wan Omar meluahkan perasaan, ketika sedang makan dia didatangi peminat yang 'mengarahkannya' ke meja mereka untuk bergambar.
Pelakon Fizo Omar, 35, mengakui tidak menyangka perkongsiannya berkaitan kerenah peminat yang mahu bergambar menimbulkan isu hangat.
"Niat saya bukan nak aibkan sesiapa, tapi lebih bermaksud mengingatkan mengenai adab sebagai orang Melayu, ia bukan kali pertama berlaku.
"Saya tak salahkan peminat, bahkan saya bersyukur dan berterima kasih kepada mereka, apabila ada orang nak bergambar, itu tandanya mereka minat saya. Sebagai artis, ia satu penghargaan," katanya bila dihubungi media berkaitan isu tersebut.
Fizo berkata, dia tidak pernah berasakan bergambar dengan peminat, satu perkara yang membebankannya.
"Saya suka melayan mereka (peminat) kerana itu tandanya kemunculan saya masih relevan dalam industri.
"Cuma, perkara ini kenalah bergantung kepada situasi. Sebagai artis yang sentiasa sibuk, itulah satu-satunya masa yang ada untuk makan.
"Saya tengah suap makanan, tiba-tiba peminat datang dan suruh pergi ke meja mereka untuk bergambar. Pada saya, cara ini agak kurang beradap," katanya.
Menurutnya, dia boleh menerima jika peminat berkenaan meminta dia ke meja mereka untuk bergambar selepas selesai makan.
"Saya bukan sombong, tapi biarlah habis makan dulu. Sesiapa saja, termasuk orang biasa pun marah kalau diganggu ketika sedang makan.
"Apapun, saya tetap penuhi permintaan mereka. Saya pun tak beri teguran kepada mereka secara berdepan kerana tak nak kecilkan hati.
"Saya tahu saya artis yang naik atas sokongan peminat, tapi janganlah keterlaluan sangat. Saya kata sedang makan, tapi di paksa juga," katanya yang memahami peminat terbabit mungkin teruja hingga sanggup bertindak demikian.
EmoticonEmoticon