Rabu, 18 November 2020

Jadi jutawan segera, batu dari langit jatuh atas bumbung dijual RM7.6 juta


MEDAN - Josua Hutagalung, 34, seorang pembuat keranda di Indonesia menjadi jutawan segera selepas batu angkasa jatuh di atas bumbung rumahnya. Ketika kejadian, dia berada di dalam rumahnya apabila meteorit seberat 2.2 kilogram itu terhempas ke bumbung bahagian beranda kediamannya di Kolang, Sumatera Utara.


"Saya sedang membuat keranda apabila terdengar dentuman yang kuat hingga menyebabkan rumah saya bergegar.


"Batu itu terlalu panas untuk dipegang, isteri saya menggunakan cangkul dan membawanya masuk ke dalam rumah," ujarnya.


Menurut laporan beberapa media, Josua telah menjual batu itu kepada seorang pengumpul setelah ditawarkan wang berjumlah 1.4 juta pound (kira-kira RM7.6 juta). Setelah diperiksa oleh pakar tersebut, batu itu dipercayai berusia 4.5 bilion tahun dan merupakan salah satu meteorit yang terhebat pernah ditemukan.


Sementara itu, pakar batu angkasa, Jared Collins merupakan pemilik baru batu tersebut selepas membelinya dari Josua, memberitahu, dia mendapat tawaran yang tinggi untuk membeli batu angkasa itu.


"Telefon saya dihujani pelbagai tawaran untuk membeli meteorit tersebut.


"Biarpun kita berada di dalam pandemik Covid-19, saya terdorong datang untuk membeli batu tersebut, untuk bekerjasama dengan saintis dan pengumpul di AS.


"Saya juga membawa sejumlah wang dan mencari Josua untuk mengadakan sesi tawar-menawar," katanya.


Collins kemudiannya menghantar meteor tersebut ke Amerika Syarikat dan ia dibeli oleh seorang pengumpul, kini disimpan di Pusat untuk Penyelidikan meteorit di Arizona State University.


Batu angkasa itu diklasifikasikan sebagai CM1/2 carbonaceous Chondrite, jenis yang sangat jarang ditemui dan dipercayai mengandungi asid amino unik dan unsur primordial lain. Difahamkan, serpihan meteorit itu turut dibeli pengumpul kedua dan kini dijual di laman eBay.


Berita Berkaitan


EmoticonEmoticon