Isnin, 16 November 2020

Ebit Lew bantu beri makanan 700kg untuk haiwan di Zoo Negara


Gombak: Pendakwah bebas, Ebit Lew menghulurkan sumbangan makanan kepada haiwan di Zoo Negara, di sini, kelmarin, selepas dimaklumkan masalah kekurangan dana yang dihadapi pihak zoo terjejas akibat pandemik Covid-19.


Rakyat Malaysia sedia maklum dengan sifat pendakwah terkenal, Ebit Lew yang gemar melakukan kerja amal. Dari masalah pelajar universiti memerlukan kenderaan untuk pulang sehinggalah masalah air, Ebit cuba sedaya upaya untuk membantu sehingga masalah itu selesai.


Terbaharu, Ebit berkongsi kepada umum di laman Instagramnya bahawa beliau mendapat permintaan dari Zoo Negara untuk menyelamatkan haiwan di sana. Menurut Ebit, selepas mendapat panggilan tersebut beliau terus bergegas ke sana pada sebelah petangnya untuk menyalurkan bantuan.


Bukan sahaja pantas menghulurkan bantuan pada orang yang memerlukan, pendakwah bebas ustaz Ebit Lew turut turun padang bagi membantu haiwan-haiwan yang berada di Zoo Negara. 


"Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari Zoo Negara untuk selamatkan haiwan di sana.


"Saya dapat tahu tengah hari tadi, petang ni terus bawa 200kg daging lembu dan 500kg buah-buahan dan sayuran," katanya. 


Pada masa sama, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berkata, RM1 juta sebulan diperlukan untuk menampung perbelanjaan termasuk makanan haiwan dan penyelenggaraan zoo.


Namun, Zoo Negara tidak dapat menjana pendapatan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekali gus, mengurangkan kehadiran pengunjung.


Tambahnya lagi, Zoo Negara turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin membantu sama ada dari segi wang atau pun makanan.


"Zoo Negara mengalu-alukan sesiapa ingin membantu dari segi duit atau makanan. Rupanya Zoo Negara dikendalikan oleh NGO (Badan bukan kerajaan) sahaja, jadi sesiapa ingin membantu boleh terus hubungi Zoo Negara," katanya.


EmoticonEmoticon