Rabu, 18 November 2020

Ditegur leka main telefon, Bapa maut ditikam anak


Jelebu: Ditegur kerana leka bermain telefon, seorang lelaki sanggup menikam bapanya dengan sebilah pisau di Rumah Rakyat Simpang Pertang, dekat sini, jam 9.30 pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin, berkata, kejadian itu dipercayai bermula dengan tindakan Yin Fah menegur anak lelakinya yang berusia 35 tahun kerana kerap bermain telefon. Mangsa dikenali sebagai Tan Yin Fah, 59, maut di tempat kejadian susulan tikaman di bahagian hadapan dan belakang badan.


"Siasatan awal mendapati, mangsa menegur suspek berusia 35 tahun yang leka bermain telefon bimbit sehingga berlaku pertengkaran mulut antara kedua beranak berkenaan.


"Mangsa yang tidak puas hati dengan tindakan anaknya, dipercayai memukul belakang suspek dengan kerusi plastik sebelum suspek bertindak menikam mangsa dengan pisau," katanya.


Maslan berkata, suspek kemudian bertindak melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas 20 minit kemudian sebaik kejadian dimaklumkan kepada polis oleh jiran.


Ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada di rumah manakala ibu mangsa yang juga nenek suspek berusia 85 tahun keluar rumah kerana berjumpa saudaranya di kawasan berhampiran.


Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan motif kejadian. Kes disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.


Sementara itu, jiran mangsa berkata, suspek sebelum ini bekerja di luar Negeri Sembilan tetapi kembali menetap bersama bapanya sejak Mac tahun ini dan kedua beranak itu kerap bertengkar.


"Bagaimanapun, tidak sangka ia berakhir dengan kematian. Suspek difahamkan tidak bekerja sejak Mac lalu," katanya.


EmoticonEmoticon