Alor Setar: Seorang nenek disamun oleh cucunya sendiri yang bertindak ala gangster mencederakan mangsa, sebelum melarikan rantai tangan emas dan rantai leher. Kejadian dipercayai berlaku 1 petang kelmarin.
Mangsa berusia 78 tahun yang tinggal seorang diri di rumahnya di Telok Kechai, Jalan Kuala Kedah didatangi suspek lelaki berusia 32 tahun itu. Kejadian itu disedari wanita berusia 25 tahun yang juga cucu saudara mangsa ketika sampai di rumah tersebut pada 2.30 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, cucu saudara mangsa kemudian masuk ke dalam rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan berlumuran darah di bahagian muka, serta bengkak di dahi.
Beliau berkata, mangsa memaklumkan yang dia disamun cucunya sendiri dengan melarikan rantai leher dan rantai tangan.
"Kami percaya berlaku pergelutan ketika kejadian sehingga menyebabkan mangsa cedera.
Mohd Redzuan berkata, suspek dikatakan tertinggal senjata buku lima yang digunakan dalam kejadian itu di rumah mangsa.
Bagaimanapun, katanya, bertindak atas maklumat, sekitar 1.30 pagi semalam, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar terserempak dengan suspek di belakang sebuah restoran di Kuala Kedah.
"Suspek cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal namun gagal apabila dia berjaya ditahan polis," katanya.
Mohd Redzuan berkata, suspek direman tujuh hari mulai semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, iaitu samun mendatangkan cedera, jika disabit kesalahan boleh kenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah methampetamine.
"Bagaimanapun suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini, turut ditemui semula rantai leher mangsa dan kes berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam," katanya.
EmoticonEmoticon