Jumaat, 6 November 2020

Belanjawan 2021 kurang membantu merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi - Anwar


Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Belanjawan 2021 yang diumumkan hari ini tidak memberi gambaran bagaimana ia boleh merangsang dan memacu pertumbuhan ekonomi supaya boleh hidup dan segar.


Presiden PKR itu berkata, beberapa unjuran angka dilihat amat membimbangkan sebagai contoh cukai korporat dan pendapatan.


"Itu cukai sita yang disebut hanya berkurangan RM4 billion berbanding 2019, itu sukar diterima kerana perniagaan banyak yang hampir bankrup atau kerugian serta mengalami keuntungan kecil.


"Yang keduanya ialah beberapa bentuk perbelanjaan untuk propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menjangkau lebih RM80 juta kalau dibanding dengan rakyat miskin dan orang kelainan upaya (OKU) adalah kecil," katanya menerusi satu video di laman Facebook rasminya, hari ini.


"Harus ada sikap yang lebih telus yang menyatakan fakta kerana ia dapat dikaji dan akan dapat mempengaruhi dasar kita.


"Namun kelemahan yang paling ketara ialah tidak ada satu lonjakan bagaimana kita boleh pulihkan ekonomi ini, itu adalah satu kelemahan besar bagi saya," katanya.


Anwar turut menegaskan, inisiatif kerajaan dalam penyelesaian masalah pengangguran dan membantu golongan pekerja yang dibuang kerja juga hanya bersifat sementara.


"Ini perkara paling besar, nak bayar RM500 itu adalah perkara sementara dan bukan jawapannya.


"Kita juga sebut mengenai morotarium, kita lihat Menteri Kewangan ini lebih memihak kepada kepentingan bank dan bukan kepentingan peminjam serta ekonomi.


"Kenyataan saya terkait pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021, insyaallah Isnin ini saya akan mengulas dengan lebih lanjut," katanya.


EmoticonEmoticon