Khamis, 19 November 2020

Bakar kereta untuk tuntut insuran, gara-gara tidak puas hati dengan rakan


Klang: Selepas membakar kereta sendiri, seorang lelaki membuat laporan palsu bahawa kenderaan itu telah dicuri untuk tuntutan insuran. Kereta berkenaan dibakar di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Bukit Belimbing, Kuala Selangor, Isnin lalu.


Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 53 tahun itu bertindak membakar kereta jenis LMG kerana tidak berpuas hati dengan rakan kongsi perniagaan berkaitan bayaran ansuran kereta terbabit.


Difahamkan, suspek dan rakannya yang menjalankan perniagaan sub-kontraktor membaiki jalan dan rumah, menggunakan kenderaan itu yang dibeli sejak empat tahun lalu.


"Suspek tidak berpuas hati apabila rakan kongsi perniagaannya tidak turut serta dalam pembayaran ansuran bulanan kenderaan terbabit.


"Akibat rasa tidak puas hati, suspek membakar kereta itu di sebuah kebun kelapa sawit di Jalan Bukit Belimbing, Kuala Selangor seterusnya membuat laporan palsu untuk tuntutan insuran.


"Suspek pada awalnya melaporkan bahawa kereta yang diletakkan di tempat letak kereta di bawah flatnya hilang dan mengesyaki dicuri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata, ketika siasatan dilakukan, suspek kemudian mengaku membakar kereta itu dan membuat laporan polis palsu.


"Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang mana suspek akan dituduh kerana membuat laporan palsu," katanya.


Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat laporan polis palsu kerana mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya.


EmoticonEmoticon