Sabtu, 31 Oktober 2020

Lelaki culik anak kekasih kerana lamaran ditolak


JAKARTA: Gara-gara berang kerana lamarannya ditolak, seorang lelaki bertindak membalas dendam dengan menculik bayi kekasihnya itu yang berusia dua bulan.


Tribun News melaporkan, insiden itu berlaku pada 18 September lalu, 4 petang waktu tempatan. Bagaimanapun, suspek yang dikenali sebagai Bambang Ariyanto, 35, ditangkap di Kampung Muka, Jakarta Utara tiga hari kemudian.


Jurucakap Polis Daerah Jambi Iwan Sayuti memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap Bambang yang berada dalam tahanan ketika ini.


"Siasatan masih berjalan dan segala butiran lanjut akan dikongsikan selepas semuanya selesai.


"Jika sabit kesalahan, suspek akan berdepan hukuman 15 tahun penjara mengikut kerana melakukan penculikan membabitkan kanak-kanak," katanya.


Difahamkan, suspek mengajak kekasihnya, Intan Ayu Lestari, 20, yang juga ibu tunggal untuk berkahwin tetapi tidak diterima. Ibu Ayu Lestari, Leni, 42, berkata, suspek menjalin hubungan sejak anaknya hamil lagi.


"Anak saya berpisah dengan suaminya ketika sedang hamil.


"Tidak lama kemudian, anak saya menjalin hubungan dengan kekasihnya itu dan kami membenarkannya menumpang di rumah.


"Mulanya keadaan baik-baik saja tetapi kekasih anak saya mula menunjukkan sikap buruknya yang malas dan tidak bekerja ," katanya.


Menurut Leni, keadaan itu membuatkan dia dan anaknya berasa tidak senang kerana menganggap suspek sebagai beban.


"Hidup kami bertambah susah sejak dia tinggal bersama. Apabila anak saya menolak lamarannya, dia jadikan cucu saya sebagai mangsa dengan melarikannya.


"Lelaki itu turut membawa lari sijil kelahiran dan dokumen lain bersama," katanya.


EmoticonEmoticon